Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, January 7, 2010

Akar Sabar Itu Pahit, Tapi Buahnya Manis


Perit sungguh ujian yang melanda,
Bertambah perit apabila dilanda gelora,
Diri menunduk menongkah badai,
Dan ku lihat sinar di sana...


Diri yang lemah ini juga hajat sangat doa darimu wahai mujahidah solehah. Walaupun kita jauh tapi Allah tautkan hati2 kita, agar menjadi qudwah pelebar agama yang diredhaiNya. Wahai sahabat, jika engkau memandang segalanya adalah drp Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakitnya hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, yang menyusahkan kehidupanmu, pasti akan damailah hatimu... Kerana masakan Allah mentakdirkan segalanya terhadapmu utk sesuatu yang sia2? Bkn Allah tak tahu deritamu, tp mungkin itulah yang Dia mahu... Mungkin utk menguji sedalam mana cintamu terhadapNya.


Mesej itu ana tatap. Hiba. terharu.

Handphone berbunyi lagi.

Terima Kasih Duhai Sahibahku


1 MMS diterima dari sahibah yang lain.

Mesej dibuka. Terdengarlah suaranya sayup-sayup membacakan doa buat ana. Ada sendu di pengakhiran suara itu. Sedih ana sedihnya jua.

Seorang lagi sahibah menangis melihat gambar ana yang bengkak-bengkak mata akibat seharian menangis.

Ana menjadi penasaran. Terasa sungguh Allah masih mengingati ana dengan kurniaan para sahibah yang subhanallah! Hebat-hebat belaka. Malahan ana tidak sanggup berfikir akan kehilangan mereka. Tidak sanggup. Sedih mereka, sedih ana jua. Gembira mereka, gembira ana jua.

Di saat ujian yang besar menimpa diri ini, para sahibah tidak putus-putus menghantar mesej memberi kekuatan. Memberi mesej agar ana bertenang. Mereka tidak pernah berubah, menegur ana tatkala ana silap, menjadi tongkat bagi ana yang lemah dan menjadi cahaya tatkala ana berada di dalam kegelapan.

Para sahibahku... Ketahuilah ana amat menyayangi kalian. Teramat sayang kerana Allah. Benarlah, berukhwah kerana Allah itu terlalu indah. Sangat indah.

Terima kasih ya Allah..

Akar sabar itu pahit, tetapi buahnya manis


Ana sudah menjangka.. 5 tahun yang bakal dilalui bukanlah akan disirami mawar nan indah, juga bukan dihiasi haruman mewangi tetapi ana harus bersedia dengan duri-duri tajam di sepanjang jalan, juga bauan busuk yang menyelubungi udara.

Ana harus kuat.

"Saya tengok kamu ni ada potensi untuk menjadi pejuang muslimah yang berjaya. Cuba tengok ikan, dikelilingi laut masin, tapi isinya tetap tawar." Kata-kata semangat disuntik masuk secara tepat ke dalam hati ana oleh pensyarah di jabatan HEP.

"Tapi puan.. saya tak kuat" Ana mengeluh.

"Kuat tak kuat, kamu yang tentukan."

"Saya takut sangat hati saya mati. Saya tak mahu terbiasa dengan perkara yang melanggar syariat."

"Inilah saatnya, kamu mahu menguji keimanan kamu...."

Ana terdiam. Di sebalik kata-kata itu ada benarnya. Selama ini ana dikelilingi suasana Islami, yang mana semuanya terjaga. Dari A sampai Z. Dan kini semuanya terbalik secara keseluruhan..

Ana masih ada rasa sensitif terhadap semua itu, alhamdulillah.. Petanda iman masih ada.. Tapi...

"Saya takut kalau saya hilang sensitiviti." Ana bersuara lagi. Air mata sudah mula bergenang.

"Beginilah. Waktu PJ tu 2 jam, lagi 22 jam apa yang kamu lakukan untuk melawan 2 jam tu? Kamu dah berjaya melalui semester 1 dengan sebaiknya.."

Ana berfikir kembali. Zikir, doa, membaca Al-Quran, berkumpul dengan orang soleh... Sudah lengkapkah semua itu?

Perbincangan bersambung.. dan ana mula melihat satu-persatu perkara yang terbentang di hadapan mata. Perasaan ana lega sungguh. Mungkin saat itu kami berbicara sesungguhnya. Dari hati ke hati.

Sungguh, Allah tidak pernah melupakan hambaNya. Cuma kita harus bersabar kerana buahnya nanti manis :)

Jangan jadi seperti monyet


Ketika angin kencang, monyet akan berpegang erat pada dahan. Tetapi, ketika angin sepoi-sepoi bahasa, monyet akan terlupa sebentar pada pegangannya dan kemungkinan besar akan jatuh ke bumi.

Begitu juga kebanyakan kita. Ketika diuji, kita memegang erat pada prinsip yang telah kita cipta, tetapi andai semuanya kelihatan baik-baik sahaja kita mula lupa pada pendirian kita dan akhirnya semua itu akan terlepas dengan mudah. Tiada lagi prinsip. Tiada lagi pengangan. Na'uzubillah.

Pengalaman dan pengajaran yang telah ana laluilah yang telah menjadikan ana seperti ana sekarang. Yang mampu mencoret barang sepatah dua kata untuk muhasabah bersama. Benar, ana akui... Ujian itu terlalu perit untuk ditanggung. Tetapi kita harus ingat bahawa Allah menguji mengikut kemampuan hambaNya.

Terkadang ketika kita sedang diuji, kita akan merasa lemah jua tidak bermaya. Kita menangis dan merintih mengapa semua ini berlaku. Kita rasa tidak mampu. Tidak kuat. Tetapi hakikatnya, Allah telah mengukur tahap kemampuan kita, dan bersyukurlah kerana dugaan itu tiba. Itu tandanya Allah masih mengingati kita, Allah masih menyayangi kita dan Allah amat merindui rintahan kita.....

Allah juga mahu memupuk jiwa agar menjadi lebih kuat dan tabah. Kerana di hadapan sana.. Pelbagai lagi dugaan yang menanti.

Fahamilah Sahabatmu


Seorang sahabat itu haruslah memberi kekuatan kepada sahabatnya yang lain. Ketika dia sedih, dampingilah dia.. Dengarlah rintihan hatinya. Sokonglah dia dan berilah pendapat dengan sebaik mungkin. Dari hati ke hati.

Terkadang mereka yang diuji akan merasa penat untuk bercerita. Merasa penat untuk berkongsi. Malah merasa penat untuk mendengar segala nasihat yang mendatang. Tetapi bersabarlah kerana sahabatmu itu memerlukanmu...

Dengarlah dahulu segala rintihannya..... Sokonglah dia dahulu sebelum mengemukakan pendapatmu. Sama seperti bagaimana cara terbaik untuk menegur insan lain.

"Alhamdulillah.. cantik betul lah awak hari ni.. Kemasnya, subhanallah.. Tapi saya rasa natural beauty lagi cantik. Awk tanpa make up pun cantik tahu?" Suara Halimah menegur sahibahnya yang berhias secara keterlaluan.

"Sedihnya peristiwa tu... Kena buat tu, kena buat ni.. saya faham.. Hm, macam manalah kan nak lalui detik-detik tu. Tapi saya tahu awak kuat! Awak tak boleh mengalah tau.. Awak kena terus berjuang."

Terkadang percakapan kita yang sedikit, untuk memberi nasihat akan hanya memberi kesan luka di hati insan lain.

Benar, niat kita memang baik. Tapi manusia yang sedang dalam kemurungan akan mudah terguris dan tidak mudah menerima pendapat.

Maka berkatalah dengan sebaiknya dan fahamilah sahabat kita sedalamnya...

Wallahu'alam...

Setiap dugaan yang melanda,
Aku yakin bahawa Engkau bersamaku Allah,
Tunjuki aku cahaya itu,
Agar aku bisa menggapainya,
Mendakapnya penuh erat......

Read More...

Wednesday, January 6, 2010

Sukarkah Menjaga Syariat?


ya Allah...
HambaMu ini berjalan meniti titian pasir...
Meredah lautan kaca..
Menongkah badai bergelora..
Demi menjaga syariatMu..

Terkadang ya Allah,
Kaki tersadung batu,
Dihempap dedahan reput,
Lalu diri tersungkur,
Jatuh menyembah bumi,
Demi menjaga syariatMu...

Ya Allah...
Jangan sesekali kau selitkan rasa kecewa,
Jangan sesekali kau selitkan rasa hiba,
TAPI..
Selitkanlah ya Allah...
Selitkanlah rasa bangga dan cinta kepadaMu yang semakin mendalam.
Kerna aku tahu.. Inilah lambang cintaMu kepadaku.

Terkadang aku duduk sendirian,
Mengenangkan betapa diri ini hina,
Tercalar hatiku mengenangkan pengorbanan sumayyah,
Yang rela berjuang sehingga ke titisan darah terakhir..

Menangis hatiku terkenangkan bilal bin rabah,
yang dijemur diterik mentari dan dihempp dengan batu,
Namun lidah tetap utuh menyebut "Ahad! Ahad!"

Ya Allah....
Sukarnya menjaga syariatMu kini,
seolah-olah dunia sudah kembali ke zaman jahiliyyah dahulu,
Terbayang-bayang dibirai mata,
Bagaimana mudahnya Engkau membinasakan umat yang terdahulu.

Tapi mengapa ya Allah,
Mengapa kini orang yang menjaga syariatMu dipandang jelek dan hina,
Dimarah, ditengking, dimaki semata-mata agar dituruti peraturan manusia yang terbatas.
Mengapa ya Allah... Maksiat semakin berleluasa, syariat semakin tidak terjaga, Lupakah mereka pada seksa dan azabMu?
Lupakah mereka pada Mu, Tuhan sekalian alam?

Ya Allah...
Peritnya dugaan yang melanda,
Puas sudah ku pujuk hati,
Bersabarlah kerana sabar itu manis,

Allah..Allah..Allah..
Panjangkan kesabaranku,
Tebalkan keimananku,
Jagalah iman kami,
Peliharalah hati kami,
Janganlah Kau uji kami dengan dugaan yang kami tidak mampu menanggungnya...

I trust in Allah. Do you?

Read More...

Monday, January 4, 2010

Rasulullah qudwatuna


"Ala.. yang sekolah agama pun perangai macam budak-budak biasa je. kadang ada yang lagi teruk.. Sebab tu lah kita nak jadi macam biasa je." Lancar kata-kata itu dikeluarkan dari bibir seorang teman. Membuatkan ana tersentak seketika.

Terdiam. Hakikatnya, hati menangis.. Ingin dibidas kata-kata itu, tetapi realiti terlalu perit untuk dihadapi.

Umat Islam semakin goyah. Apakah puncanya?

Allah Dilupakan


Dunia ini sungguh-sungguh indah dan mempesona. Bisa membuat sesiapa sahaja tertarik, terjatuh dan terjerumus ke dalam lubang-lubang yang dipenuhi dengan kemaksiatan.

"Kenapa Allah suruh kita buat macam-macam.. Tu tak boleh, ni tak boleh. Kenapa?"

Kerana kita seorang KHALIFAH! Khalifah diberi akal untuk mentafsir, memerhati dan mencerna setiap apa yang berada di sekelilingnya. Yang baik dijadikan ikutan, yang buruk dijadikan sempadan.

Adakah kita sanggup membiarkan anak kita bermain di tengah-tengah jalan raya. Mengapa kita menegah, padahal anak itu seronok bermain di situ? Mengapa? Adakah kita jahat?

TIDAK!

Hakikatnya, kita mahu yang terbaik buat si anak itu. Begitu juga dengan Allah. Dia yang menciptakan kita. DIA adalah jurutera bagi manusia, maka DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Manusia tidak akan mampu melawan Allah. Tidak akan.

Justeru... Mengapa Islam hanya tinggal sebagai teori? Tanpa amalan. Tanpa perbuatan. Hanya dihafal di dalam otak, tidak langsung dicerna masuk ke dalam hati. Mungkinkah Islam akan terus tinggal di dalam kitab-kitab lama... Dan juga di dalam nama kita?

Sedih. Sangat sedih.

Dakwah Rasulullah


Rasulullah qudwatuna... Rasullullah adalah IKUTAN KITA.

Baginda telah menunjukkan tauladan yang baik. Akhlak baginda adalah akhlak Al-Quran. Mengapa kita senang-senang pula berperangai buruk mengalahkan orang Arab jahiliyyah?

Salah satu faktor penyebaran Islam adalah kerana AKHLAK Rasulullah. Baginda berakhlak mulia sehingga masyarakat tertarik dengan Islam.. Kelihatan Islam sangat indah dan tersusun... Kelihatan Islam adalah agama yang terbaik buat manusia.

Tetapi kini??????

Terlahirnya satu lagi phobia iaitu islamaphobia. Takutkan Islam. Islam seharusnya didekati. Disayangi. Bukannya ditakuti. Tapi mengapa semua ini terjadi?

Sedarlah


Dalam sedar tidak sedar, semua itu berpunca dari umat Islam itu sendiri. Islam tidak mengajar umatnya bersikap kurang ajar, mencuri, berhu-ha sana-sini, bahkan Islam mengajar umatnya untuk bersikap amanah, lemah-lembut, berbudi-bahasa. Islam adalah agama yang sangat terperinci dan menyeluruh. Setiap perkara yang ingin dilakukan ada garis-garis panduannya agar hidup manusia teratur..

Tapi kini ana melihat umat Islam tanpa Islam, sekaligus mendatangkan fitnah bagi Islam. Umat Islam sewenang-wenangnya 'mencabar' Allah dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh.

Allah datangkan gempa bumi.
Allah datangkan banjir.
Allah datangkan ribut taufan.
Allah datangkan tsunami.
Allah tunjukkan segala kekuasaanNya sebagai peringatan buat mereka yang terleka.

Tapi.. Dengan bangganya kita berkata ; "Ahh.. Hidup hanya sekali... Jadi kita enjoy!!"

Tidakkah kita lebih teruk dari masyarakat jahiliyyah yang terdahulu? Yang telah Allah binasakan semuanya? Adakah kita sememangnya menunggu saat untuk dibinasakan, baru akan tersedar?

Benar. Hidup hanya sekali dan MATI juga hanya sekali. Bukankah hakikatnya, HIDUP INI UNTUK MENCARI MATI YANG SEMPURNA?

Ana bimbang... khuatir sungguh melihat umat Islam yang semakin berpecah-belah.. Semakin jauh dari Allah sehingga telah hilang sensitiviti untuk merasa musibah yang menimpa.

Saudaraku... Sedarlah. Jangan jadikan Islam sebagai agama teori sahaja.. Praktikanlah, agar agama ini dapat terus menebarkan sayapnya.

Berakhlaklah seperti akhlak Rasulullah, seperti yang Islam ajar.

Wallahu'alam :)

Read More...

Saturday, January 2, 2010

AMANAH ; antara kita,DIA dan mereka


Azan maghrib berkumandang.

Seorang wanita berjubah coklat pekat, bertudung labuh berwarna krim masuk. Wudhuk diambil. dan solat ditunaikan penuh khusyuk.

Ana berteleku di atas sejadah sambil memerhatikan segala gerak-gerinya. Entah mengapa, mata ana bagaikan tidak mahu beralih daripada menatapnya.

Dia melakukan sujud terakhir. Lama. Mungkin sedang berdoa..

Entah mengapa, muncul air jernih di kelopak mata ana.

Amanah Terhadap Allah

Amanah nan satu itu, yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, hambaNya.. Adakah telah dilakukan dengan sebaiknya? Atau hanya dilakukan dengan sambil lewa?

Melihat muslimah solehah itu, ada satu rasa aneh menyelinap ke dalam hati. Terharu? Sayu? Entahlah... Tapi terkenang kembali solat-solat ana yang dahulu, yang ada kalanya dilakukan secara tergesa-gesa, ada kalanya fikiran menerawang entah ke mana..

Malu benar ana.... Ana malu untuk berkelakuan sumbang di hadapan manusia, tetapi ketika berhadapan dengan Allah ana mampu untuk bersambil lewa.. Hamba jenis apakah aku ini ya Allah......

Sedar tidak sedar, hakikatnya amanah nan satu itu... Yang merupakan soalan pertama yang akan ditanya nanti bukanlah sesuatu yang membebankan. Bahkan sesuatu yang menenangkan,jika dihayati sebaiknya..

Badan kita akan letih,lesu dan penat setelah seharian bekerja.. Justeru itu solat adalah penawarnya. Ketika sujud, darah mengalir ke otak, sekaligus memberi oksigen yang cukup dan akan membuat kita kembali segar.

Hati yang berzikir, mengalun nama Allah akan menimlbulkan satu rasa nan indah. Tenang. Damai. Bukankah Allah telah berfirman, bahawa hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?

Lupakah kita?

Lagi pula, solat akan membuat kita lebih berdisiplin, akan membuat kita menghargai waktu... Mengapa? Kerana solat telah ditetapkan waktunya... Walau apa pun perkara yang kita sedang lakukan, kita tetap wajib menunaikan solat.

Sebab itulah digesa untuk solat di awal waktu ; adakah kita akan suka pada seseorang yang melengah-lengahkan waktu?

Amanah Kepada Keluarga


"Tikar getah dah beli?" Umi bertanya, sebaik melihat bilik asrama ana yang masih tidak bertikar.

"Em, belum"

Umi dan abah puas mencari tikar getah. Bukan itu sahaja, malah rak kasut, kain pengelap kaki dan macam-macam lagi untuk keselesaan ana di asrama.

Ana cuma diam. Terharu dengan keprihatinan mereka.

"Lepas ni wawa tinggal belajar je." Umi bersuara, penuh mengharap.

Ana mula merasa sebak... Selama ini adakah amanah ana sebagai seorang anak telah tertunai?

Amanah untuk menjadi anak yang solehah..
Amanah untuk belajar bersungguh-sungguh..

Mungkinkah selama ini ana telah mengabaikan harapan ibu bapa ana? Mungkinkah jua kalian selama ini telah mengabaikan amanah ini?

Ponteng kelas.
Belajar sambil lewa.
Tak buat assignment.
Tidak belajar.

Dan pelbagai lagi masalah yang dianggap 'hebat' malah kita bangga bercerita ;

"Tadi... aku tak pegi kelas.. aku ponteng, lepak kat midvalley. Tengok wayang."

Allah...

Dan mungkinkah... Wang yang diberi oleh kedua ibu bapa digunakan dengan sebaiknya? Mereka telah bersusah-payah demi kita...

Adakah kita berfikir?

Jangan Jadi Munafik


Salah satu sifat orang munafik adalah.. Apabila diberi amanah dia mengkhianati.

Hakiaktnya, sebagai seorang khalifah dan hamba.. kita menggalas pelbagai amanah.

Amanah sebagai seorang hamba dengan mentaatiNya...
Amanah sebagai seorang khalifah, menjaga Islam... mentaati ibu bapa... berperlakuan baik...

Dan banyak lagi.

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tergolong dalam golongan munafik?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Mahu melihat kemurkaan Allah, mahu melihat tangisan Rasulullah?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tegar memberi kegagalan kepada kedua ibubapa yang menanti penuh pengharapan... Yang rela berkorban apa sahaja demi melihat kesenangan kamu? Demi melihat kamu berjaya?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Sudah terlalu lemah untuk merasainya?

Wallahu'alam :)

Read More...

Thursday, December 31, 2009

Didikan Allah


Allah...
Dosaku menggunung tinggi...


Berkali-kali ana mencuba untuk menaip. Taip dan padam kembali.

Cuba lagi.

Dan akhirnya ana mengalah, berlalu pergi dari laptop.. Membiarkan tulisan yang hanya separuh siap.

Hambar


Entah mengapa, lewat kebelakangan ini ana seolah-olah kering idea untuk menaip apa. Entahkan kecewa, entahkan bosan melihat segala kemaksiatan yang berlaku.

Ana tidak tahu.

Beberapa kali ana mencuba untuk memberi sedikit input dalam blog,dan dalam masa yang sama sebagai nota untuk diri sendiri tapi segalanya ana rasakan hambar.

Tawar. Tersekat-sekat.

Allah.. terbit juga rasa sedih melihat kekurangan diri.

Perjalanan ke negara orang


Alhamdulillah, Allah masih beri ana peluang untuk muhasabah diri. Semalam, ana pergi ke negara orang. Sebuah negara yang bukan bergelar negara Islam demi menimba sedikit pengalaman yang tidak mungkin ana peroleh di dalam bilik darjah.

Perjalanan pagi itu bersama kekanda,adinda dan sepupu-sepupu tersayang benar-benar membuka mata. Bukan mata kasar,tapi mata hati.

Perjalanan pagi itu, setelah melepasi kastam dimulakan dengan menaiki bas.

"Brother, please give her the seat. She is carrying a baby"
Konduktor bas bersuara sebaik sahaja seorang wanita yang mendukung bayi masuk ke dalam bas.

Ana terpana, teruja bercampur sedih. Sedih kerana perkara itu tidak berlaku di negara ana sendiri. Sebuah negara yang bergelar negara Islam.

Betapa ana melihat Islam di negara bukan Islam dan ana semakin kabur daripada melihat Islam di negara Islam sendiri.

Perjalanan diteruskan dengan seribu satu macam perasaan bermain di dalam hati.

Tiada yang sempurna


Jam yang menunjukkan hampir pukul 6 membuatkan kami sedikit resah. Solat harus ditunaikan walau apa pun yang berlaku. Namun, kami sukar mencari surau di tempat kami berada. Hakikatnya, tiada surau dibina di situ.

Kami pergi ke serata tempat. Masih berharap ada satu ruang solat untuk kami menunaikan kewajipan. Hampir setiap pekerja di situ telah kami tanya dengan soalan yang sama.

"Di manakah tempat untuk solat?"

Namun jawapannya masih hampa : TIADA. Malah, masjid berada jauh dari tempat kami berpijak.

Buntu. Benar-benar buntu.

Dalam hati tidak putus-putus berdoa, "Allah..aku ingin solat..aku ingin solat."

Alhamdulillah, Allah benar-benar Maha Mendengar. Setelah kami hampir berputus asa, insan terakhir yang kami tanya menunjukkan ke satu tempat yang kami boleh menunaikan solat.

Bukan sebuah surau, atau bilik.

Tetapi satu sudut yang agak tertutup.

Alhamdulillah.. Meski terpaksa menunaikan solat di atas batu, bercampur dengan orang yang lalu-lalang yang memandang pelik, masih ada satu rasa bahagia muncul di dalam hati..

Syukur, kami dapat menunaikan kewajipan. Satu rasa yang indah......

Allah telah melihatkan kebesaranNya. Dengan menunjukkan bahawa Dia akan sentiasa menolong hambaNya.......

Sesat


Sekali lagi ana diuji. Terpisah dengan kakak yang memegang passport di sebuah negara asing bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Pada ketika itu, ana, sepupu dan adinda ingin pergi ke masjid. Niat di hati ingin melakukan jama' taqdim agar senang untuk meneruskan perjalanan.

Ketika itu waktu maghrib.

Kami panik seketika, tapi tetap meneruskan perjalanan... Melintas jalan-jalan raya yang tidak pernah kami kenali sebelum ini.

Ana cuba untuk menghubungi kekanda, tetapi hampa. Fikiran semakin buntu.

Jalan ke masjid pula bukanlah diterangi cahaya semata. Tetapi dipenuhi juga dengan lelaki-lelaki yang sekadar melepak-lepak, membuatkan hati sedikit gentar.

"Allah ma'ana (Allah bersama-sama kami)"

Tidak putus-putus kata-kata itu keluar dari mulut ana dan sepupu, seolah-olah ingin memberi satu kekuatan di dalam diri, memberi kekentalan di dalam hati.

Sampai di masjid, kelihatan lengang sungguh. Terdapat juga insan-insan yang tidak menghormati masjid dengan berpakaian seksi.

Ana hanya mampu menggeleng, hati masih lagi bergelora. Handphone dikeluarkan, mengharap ada balasan dari kekanda. Tapi masih lagi hampa.

"Tak apalah, jom sembahyang dulu" Sepupu mengajak. Ana menurut.

Wudhuk diambil dengan penuh pengharapan, "Allah...salurkan ketenangan dalam hatiku..." Selesai berwudhuk, kaki melangkah ke dewan solat. Telekung dipakai.

Tiba-tiba...

Hati tergerak untuk melihat handphone,lantas tangan menyeluk poket, mengambil benda yang berbentuk empat segi itu.

Unlock button.

1 new message from kauthar.


Ana terpana. "Iman..ada mesej dari kauthar." Berita itu dikongsi bersama sepupu.

"Dia kata apa?"

"Dia kat info centre. Sesat tadi."

"Suruh dia tunggu kat situ.. Dalam setengah jam lagi kita sampai."

Ana tersenyum, dan kami memulakan solat.

Allah..... Sekali lagi, keagunganNya terserlah. Dia sentiasa bersama kita, hakikatnya Dia terlalu dekat dengan kita. Cuma kadangkala kita yang tidak yakin dengan hakikat itu sehingga kita lebih mengharap pada makhluk ciptaanNya berbanding dengan Allah sendiri.

Allah ma'ana.

Terima kasih ya Allah....

Jauh Perjalanan, Banyak Pengalaman


Banyak sungguh pengalaman yang diteroka. Semua itu membawa pengajaran di dalam diri.

"Hari ini kita banyak belajar kan?" Ana bersuara. Benar, hakikatnya, apa yang berlaku adalah salah satu cara Allah mengajar kita.

Setiap yang berlaku itu ada hikmahNya. Kami sedikit merungut ketika beratur panjang dan lama untuk masuk ke satu-satu tempat. Namun akhirnya kami mendapat priority untuk memilih tempat duduk.

Setiap kemaksiatan yang berlaku membuatkan ana berfikir kembali... Adakah salah mereka atau salah ana? Mereka tidak mendapat hidayahNya lagi, tetapi ana yang telah diberi kesedaran hanya mampu membisu. Jadi, mengapa ana harus bosan dan beralah dengan kemaksiatan yang berulang kali menjengah di birai mata?

Dimanakah tanggungjawab ana sebagai seorang khalifah? Ana seolah-olah patung bernyawa. Mampu melihat, tetapi tiada tindakan.

Entahlah... hakikatnya, ana harus malu pada mereka kerana mereka melakukan maksiat lantaran TIDAK TAHU, tetapi ana membuat dosa yang ana TAHU.

Ampuni kelalaianku Allah...

Terselit hikmah di setiap kejadian, dan semuanya terpulang kepada kita, untuk melihat pada sudut hitam atau putih.

Jika hitam yang dilihat... Maka tinggallah kita dengan seribu prasangka yang mengotori hati.

Jika putih yang dipandang... Maka terbukalah mata hati, dan rasa tenang serta bersangka baik dengan Allah itu muncul, sekaligus sedar bahawa Allah mahu MENDIDIK kita.

Allah ma'ana.


Wallahu'alam :)

Allah...
Walau taubat sering ku ingkar..
Tapi rahmatMu melangit luas...

Read More...

Thursday, December 24, 2009

Palestin Semakin Dilupakan


Peristiwa berdarah menyayat hati,
Semakin hari semakin dilupakan,
Apakah nanti...
Peristiwa itu terus lenyap dari ingatan?


"Kak Mas, nak biskut tak?" Hazim bertanya ketika ana sedang leka menonton televisyen. Biskut Munchys oat krunch hanya tinggal sepeket lagi.

"Em, nak." Ana menjawab ringkas, acuh tidak acuh.

"Nah"Hazim pantas membuka satu-satunya paket yang tinggal itu dan menghulurkan kepada ana.

"Ala.. wawa taknak makan sekarang, wawa nak makan esok." Ana membalas, berpura-pura merajuk

Keesokannya, pagi-pagi lagi ana terus melangkah ke dapur, menjengah ke dalam kotak makanan dan kelihatan kotak munchs oat krunch berserta tulisan di atasnya. Kotak diangkat dan ana mula membaca.



Jangan buang. Ada lagi 2 keping biskut untuk wawa




Ringkas tulisan itu, tapi cukup bermakna.

***

Palestin Menangis

Mengenangkan 2 keping biskut itu... tiba-tiba fikiran ini jauh melayang ke satu buah negara yang sedang diserang habis-habisan oleh kafir laknatullah. Negara yang dikelilingi dengan negara-negara Islam, namun tiada tindakan diambil petanda ukhuwah yang kian rapuh. Saat ana enak makan biskut munchys itu, mereka makan apa?

Adakah Palestin semakin dilupakan? Kita bergembira di sana-sini, melancong, membeli-belah, makan-makan dan sebagainya tanpa sedikit pun kita ingat kepada saudara kita di sana... Adakah kita lupa bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, tidak lengkap iman seseorang itu selagimana dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

"Ah.. kau boikot-boikot buat apa? Kang haus, kau minum juga coca-cola"

Astarghfirullah. Ana pernah diajukan ayat sebegitu. Selain beristighfar,apalagi insan hina ini mampu lakukan? Benar, ana ini lemah.. Tidak banyak yang ana mampu lakukan untuk Palestin tercinta, untuk saudara-saudaraku di sana yang sedang merintih.. Yang setiap detiknya menghitung saat-saat kematian akan tiba..

Benar, ana akui ana tidak mampu mengangkat senjata untuk bersama-sama mereka di sana. Ana juga tidak mampu berjihad di medan perang. Tapi, sekurang-kurangnya ana mahu bermujahadah. Bermujahadah melawan nafsu semaksimum mungkin dengan tidak membeli barang-barangan yang menyumbang kepada peluru-peluru yang bakal menembusi badan-badan longlai saudara ana di sana.

Meneguk coca-cola sungguh-sungguh seperti meneguk darah saudara ana. Ana tidak sanggup.

Dan sekurang-kurangnya... saat disoal satu hari nanti; apakah yang telah ana lakukan untuk saudara ana yang dalam kesakitan? insyaAllah ana mampu menjawabnya.

Palestin Kian Dilupakan




Ana masih ingat, saat gaza diserang secara besar-besaran... Surat khabar, dan segala jenis media giat memperlihatkan peristiwa tragis itu.. masyarakat keluar beramai-ramai dengan niat mahu keadilan ditegakkan...

Namun sayang seribu kali sayang... Semangat-semangat itu kian pudar, dari hari ke hari... dari detik ke detik... Sehingga Palestin semakin lenyap dari ingatan, seolah-olah negara itu sudah mencapai kemerdekaan, dan seolah-olah saudara-saudara kita sedang bergembira di sana, sebagaimana kita bergembira di sini.

Ana teringat satu kisah di mana ketika perang, ada 3 orang yang cedera parah. Pemuda pertama merintih.."Air..air..." petugas yang mendengar segera menyuakan air, tetapi sebaik sahaja mendengar pemuda kedua jua merintih kehausan, dia segera berkata "Berilah kepada pemuda itu" Petugas itu pun berlari ingin menyuakan air kepada pemuda kedua, tetapi baru sahaja air itu ingin dihirup, pemuda ketiga pula merintih kehausan.. Pemuda kedua pun berkata "Berilah air kepada pemuda itu"

Akhirnya, ketiga-tiga pemuda meninggal dunia. Dalam satu ikatan ukhuwaah yang tertinggi kerana Allah.

Tapi kita sekarang, tidak lagi umpama satu tubuh.. cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Kita lebih gemar hidup sendiri-sendiri, dan lebih menyayat hati.. Kita tegar melihat saudara-saudara kita dalam kesusahan.

"Oh, kasihan mereka" Itu sahaja, dan tiada tindakan susulan.

Kita sedang berhibur... Mereka sedang bersiap-sedia melawan musuh.
Kita enak makan yang sedap-sedap... Mereka makan tidak menentu.
Kita enak tidur di tilam yang empuk... Mereka tidur berbantalkan lengan.

TAPI!!

Mungkinkah, 'di sana' nanti.. segala keenakan itu akan tetap kekal di samping kita setelah kita mengabaikan mereka di sini...

Marilah kita bersama-sama kembali mengingati saudara-saudara kita yang sedang dalam kesusahan... Kenang mereka dalam doamu...

***

Dua keping biskut itu ana ambil, dan hulurkan kepada Hazim yang sedang asyik menghadap komputer.

'Ambillah dik... Mungkin dikau lebih memerlukan... Moga membesar menjadi anak yang soleh'

Oh saudaraku,
Maafkan kami yang terleka,
Maafkan kami yang alpa,
Moga kalian dirahmatiNya..



Read More...

Sunday, December 20, 2009

Siri Pengembaraan Bermula :)

Sesungguhnya Engkau tahu
bahwa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu


Alhamdulillah... ana baru sahaja pulang dari Melaka setelah 3 hari 'berkampung' di Melaka Bandaraya Bersejarah :)

Jumaat, Sabtu & Ahad.. (18 dis-20 dis 2009) itulah masanya kami saudara-mara sebelah umi berusaha untuk lebih mengenali dan merapatkan tali silaturrahim..


Siri Pengembaraan bermula!! :)


Hari Pertama


Tempat pertama yang kami pergi ialah R&R untuk berhenti makan-makan bagi sesiapa yang dapat bercuti daripada menjalani ibadah puasa pada hari itu atau pun yang tidak mahu berpuasa (hehe)



Selepas agak lama berborak-borak dan makan-makan di situ, kami pun segera bertolak ke destinasi pertama kami... Zoo Melaka yang berdekatan dengan plaza tol Melaka..


Burung penyambut tetamu.. Pandai berposing.. Bijak2



Salah satu spesies monyet yang jarang dijumpai.. Sekali imbas nampak macam kucing (er, ye ke?)



Aishah ; "Adam.. cepatlah jalan.." Adam ; "Tak nak-taknak.. nak tengok zirafah"


"Fuh.. Penat-penat.. Rehat sekejap"

Selepas berpenat-lelah, kami pun segera menuju ke tempat penginapan kami untuk check-in Hm... Hotel Mahkota menjadi pilihan kami buat kali ini..


Hotel Mahkota... di hadapan laut.. Sangat indah, subhanallah!




Bilik ana berhadapan dengan laut ini... Sangat tenang.. Solat pun menghadap laut.. Subhanallah.. Alhamdulillah... Allahu Akbar!

Malamnya pula, ada solat berjemaah maghrib dan isyak serta tahlil...

Aktiviti bagi kanak-kanak adalah...



Main dalam almari secara berjemaah.... :)




Sehinggalah penat dan tertidur! (Baca : Gambar ini sekadar posing semata-mata :D)

Hari Kedua


Pagi-pagi lagi kami telah keluar untuk meneruskan pengembaraan... Hujan rintik-rintik yang mulai turun sedikit membataskan langkah.. Namun, berbekalkan semangat yang kental (eceh) kami berjaya (alhamdulillah) menaiki bas bersama-sama untuk menaiki river cruise..


Dua anak dara sedang setia dan tabah menunggu giliran menaiki river cruise...


Adam terpegun melihat biawak-biawak sedang berkeliaran manakala kakaknya mengantuk dibuai angin sepoi-sepoi bahasa... (Aish!)

Kemudian hujan turun dengan lebatnya.... Kami pun kembali ke hotel dan berehat seketika sebelum meneruskan 'perjuangan' ke medan-medan membeli-belah. Terima Kasih Allah atas nikmatMu...


"Kenapa entah, semua orang penat berjalan.. saye tak penat pun..."

Balik sahaja ke hotel... Semua kanak-kanak berdesup ke bilik masing-masing untuk bersiap sedia ke....



Kolam Renang!!!



"Saya pun nak berenang juga"

Malamnya, kami makan bersama-sama di kedai milik Abang Jo & Kak Ina (Terima kasih ya).. Makanan yang sangat sedap tapi ana malu nak tambah.. Huhu... Malangnya, kerana leka sangat makan.. Terlupa nak ambil gambar T.T

Selepas itu, ada yang terus balik ke hotel dan ada pula yang pergi ke pasar malam. Melaka yang tidak pernah malam..... Kenderaan sentiasa sesak biarpun jam menunjukkan ke angka 12.

Hari Ketiga


Kami sarapan bersama-sama dan terus menuju ke masjid terapung..


Laluan ke dewan solat..


Umi ana berposing di terik mentari..


Lihat.. masjid ini terapung!! :)

Dan akhirnya, bersalam-salaman, sebelum pulang ke destinasi masing-masing..


Siri Pengembaraan Berakhir..

Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu


Read More...

Thursday, December 17, 2009

Suci Sekeping Hati


Oh dunia..
Betapa fananya dirimu,
Apakah harus ku tinggalkan?


“Akak!” Terkedek-kedek kanak-kanak berumur 8 tahun yang masih memakai baju seragam sekolah itu berlari mendapatkan kakaknya yang berdiri tegak di tengah bendang.

Maisarah memalingkan badannya ke arah suara itu, senyuman yang paling manis diberi. Sesekali baju cotton berbunga kecil yang lusuh berserta tudung kusam miliknya terbuai-buai ditiup angin.

“Ya dik.” Tangannya segera didepangkan untuk menyambut kedatangan Hazim. Sekelip mata sahaja Hazim sudah berada dalam dakapannya. Tangan lembut itu mengelus-elus rambut kanak-kanak suci itu, kemudian satu ciuman sayang mendarat di dahi kecil Hazim.

“Akak..”

“Hm?”

“Kenapa tak balik lagi? lama Hazim tunggu kat rumah” Bicara anak kecil itu menusuk hati Maisarah. Semenjak kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan ngeri setahun yang lalu, dia lah yang menggantikan tempat mereka dan alam persekolahannya terpaksa ditinggalkan. Malapetaka yang menimpa dirinya seawal usia 16 tahun itu terlalu ngeri untuk dikenang. Satu-satunya motor kapcai buruk milik bapanya hancur dirempuh lori, dan......

“Akak, Hazim cakap sorang-sorang ke?” Muncung mulut itu menandakan rajuknya sudah bermula. Maisarah tergelak kecil. Segera jemarinya yang runcing menarik muncung comel itu.

“Taklah, akak minta maaf ye.. Leka sangat tadi akak tengok suasana di bendang ni. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Allah kan dik?”

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut rambut Hazim, membuatkannya semakin selesa dalam dakapan Maisarah.

“Kak, Hazim laparlah...” Luah anak kecil itu, ada nada sedih di penghujung suaranya.

“Astarghfirullah, lupa pula akak... Jom kita balik. Nanti akak masakkan telur goreng ya?”

Anggukan Hazim jelas menunjukkan kemahuannya. Maisarah segera memimpin tangan adiknya untuk pulang ke rumah.

Dan.... kesedihan yang sebenar itu tidak wajar dirasai oleh kanak-kanak sekecil Hazim. Maisarah sedar akan hakikat itu.

***

Langit di luar kelihatan sedikit mendung, seolah-olah berat sungguh kandungan air dalam perut awan-awan yang berarak itu, entah bila air itu bakal dimuntahkan...

Tangan maisarah ligat melipat kain baju yang sudah diangkat.Hazim yang baru keluar dari bilik, siap dengan baju tidurnya menghampiri Maisarah.

“Akak”

Maisarah memandang.

“Hazim nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah.” Satu senyuman dilempar.

“Ustazah kat sekolah tadi cakap dunia ni hanya pinjaman je... Dunia bukan sesuatu yang patut kita kejar. Betul ke akak?”

“Betul”

“Jadi, betul lah kita tak perlu cari duit... Kita perlu hidup macam ni je kan akak?”
Maisarah tersentak. Hidup melarat di zaman ini bukanlah sesuatu yang baik untuk Islam, dia sedar akan hakikat itu. Cuma... Bagaimana harus dia menerangkan kepada seorang anak sekecil Hazim?

Maisarah menarik nafas panjang.

“Pada Hazim?” Soalan berbalas soalan.

Hazim menjungkitkan bahu. “Entah. Tapi Hazim sedih, tadi kan akak....”

Ayatnya terhenti. Matanya yang semenjak tadi memandang tepat ke dalam anak mata Maisarah dialihkan. Sesekali, tangan mulusnya mengesat sedikit titisan-titisan jernih yang mulai turun dari kelopak matanya yang bengkak.

Maisarah yang sedar akan perubahan mendadak itu menarik sedikit tangan Hazim dan membawanya dekat dengan dirinya. Kepala Hazim segera rebah di pangkuan Maisarah, seolah-olah ingin membawa sekali semua masalahnya rebah bersama.

“Kenapa dik?” Tangan lembut Maisarah tidak henti-henti megusap kepala anak kecil itu, betapa sukar untuk dirinya memaksa hati untuk terus tabah. Namun, untuk adik yang dikasihi.. Dia harus terus bijak berlakon. Ya, berlakon untuk kesenangan insan tersayang.

‘Duhai hati... Bersabarlah..’


“Ada kawan-kawan Hazim yang bukan Islam ejek-ejek Hazim. Dia cakap orang Islam memang hidup melarat, miskin, susah.. Kawan-kawan Hazim yang Islam pun selalu ejek-ejek Hazim” Semakin deras mutiara jernih itu turun membasahi pipi lembut Hazim.

“Hazim... Allah tidak pernah menyuruh agar kita meninggalkan dunia sepenuhnya. Hakikatnya, ilmu yang kita cari, yang Hazim belajar kat sekolah.. Itu semua adalah ilmu Allah. Apa-apa pun perkara baik yang kita lakukan kerana Allah merupakan salah satu daripada cabang ibadah. Hazim faham tak sayang?”

Angguk.

“Jadi akhirat kita tak payah kisah?”

Maisarah senyum dan segera menggeleng. “Tidak sayang... Allah tidak suruh kita melupakan dunia tapi dalam masa yang sama kita ada satu matlamat yang jitu, iaitu akhirat. Jadi, sebab tulah apa-apa pun yang kita lakukan, harus niat kerana Allah.Andai kemiskinan mampu menjadi fitnah untuk Islam, maka kita harus berusaha untuk mengatasi kemiskinan itu”

“Oh.. Hazim ingat ibadat tu yang sembahyang, doa, zikir je.”

Maisarah menggeleng lagi. Satu senyuman diberi.

“Akak....” Suara itu memanggil lagi.

“Ya dik..”

“Kenapa nasib kita begini?”

Maisarah terpana. Segera bibirnya bergerak, menyanyikan bait-bait lagu Suci Sekeping Hati buat Hazim.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah .. Bila disapa duri yang menanti ...Akan kaburkah mata yang meratap.. Pada debu yang pastikan hinggap”

Titis-titis air jernih yang semenjak tadi bertakung di kelopak matanya, gugur jua.. Diiringi hujan yang semakin lebat di luar...

***

‘Tok.. Tok..’

‘Pap’ Pen jenama Pierre Cardin di tangan jejaka itu jatuh merebah bumi.

Hazim terkejut dek ketukan di pintu. Jauh benar lamunannya, menjelajah ke seluruh pelusuk desa 20 tahun yang lalu. Terkenang susah dan senang bersama Maisarah-permata hatinya yang banyak memberinya semangat sehingga tertubuhnya syarikat yang menjual pelbagai produk barangan muslim miliknya sendiri!

‘Tok..Tok..’

“Allah, mengelamun lagi aku” Kepala digeleng-gelengkan. “Masuk”

Seorang wanita berjubah dan bertudung labuh masuk. Buku kecil di tanggannya diangkat. “Encik, pukul 10.30 encik ada meeting dengan ahli lembaga pengarah yang lain.”

Hazim memandang jam yang terletak di mejanya sekilas. 9.30.

“Terima kasih Adawiyah.”

Wanita mengandung itu tersenyum.Senyuman yang mampu menghilangkan segala duka. “Itu sahaja, ada apa-apa lagi encik?”

Hazim menggeleng. Adawiyah berpaling dan kakinya bergerak untuk melangkah pergi.

“Em.. Sayang..”

Hazim bangun dari kerusinya dan bergerak rapat ke arah Rabiatul Adawiyah yang berdiri tegak menghadapnya. Tangannya pantas mengusap-usap perut isterinya yang semakin membesar. Seorang isteri yang solehah, benar-benar menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Mencarinya pada zaman ini umpama mencari permata di sebalik ribuan kaca.

“Terima kasih ya Allah, atas kurniaan permata termahal ini”
Hazim berbicara di dalam hati.

“Baby abi sihat tak ni?” Telinganya diletakkan di perut isteri tercinta. Pantas pula tangan kudus milik Adawiyah mengusap-usap kepala suami tersayang.

“Tanya baby je?” Muncung-muncung mulut Adawiyah berpura-pura merajuk.

“Mak baby dah depan mata ni, alhamdulillah sihat je ayah baby tengok.”

Adawiyah tergelak.

“Sayang..”

“Ye abang..”

“Abang ingat minggu ni nak balik kampunglah, jenguk akak.” Hazim memandang tepat ke dalam anak mata Adawiyah.

Adawiyah tersenyum, satu senyuman nakal mula terukir di wajahnya. “Baiklah encik, saya akan batalkan semua program encik hujung minggu ni. Nanti saya catatkan dalam diari ya.”

Hazim mencuit hidung isteri tercinta. “Nakal...”

***

“Sodaqallahul azim...” Maisarah menutup dan mencium Al-Quran miliknya, yang juga merupakan pemberian daripada arwah ayah. Pesanan arwah bapanya sentiasa terpahat di hati, tidak pernah walau sedetik dia melupakannya.

‘Hiasi hatimu dengan Al-Quran!’


Maisarah bangun dan meletakkan Al-Quran di salah sebuah rak usang di salah satu sudut rumah kecil miliknya. Apakah layak tempat tinggalnya digelar rumah atau lebih layak di panggil pondok?

Entah, Maisarah tidak pasti. Apa yang pasti,tempat tinggalnya yang berasaskan kayu, berbentuk empat segi dan hanya mempunyai satu bilik itu hanya menanti saat untuk rebah ke bumi.

“Akak” Lembut suara Hazim memanggil sambil tangan kanannya menarik sejadah usang berwarna hijau miliknya. Sesekali tangan kecilnya menggosok-gosok mata menandakan masa untuk tidur semakin hampir.

“Ya sayang.. Hazim dah solat?”

Angguk.

“Hazim doa apa tadi?”

Hazim bergerak perlahan ke arah Maisarah dan meletakkan kepalanya di atas ribaan permata hatinya itu.

“Hazim doa.. ya Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu-bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil dahulu. Ampunkan juga dosa kakakku, saudara-maraku, jiran-jiranku, rakan-rakanku dan dosa seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ya Allah, kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat.”

Petah mulut kecil itu berbicara. Maisarah terpana. Tidak ramai manusia yang ingat untuk mendoakan sesama mereka, kebanyakannya hanya mendoakan diri sendiri. Terkadang, dia sendiri terlupa... Malunya dia pada kanak-kanak sekecil Hazim yang sudah mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Teramat malu.

“Akak?” Hazim mendongak sedikit.

“Ya”

“Hazim doa salah ya?” Timbul kegusaran di riak wajah comel itu.

Geleng. “Taklah sayang, pandai adik akak doa...”

“Habis, kenapa akak senyap je?”

“Akak tengah aminkan... Tapi kan Hazim, akak rasa Hazim kena tambah lagi satu doa”

“Apa dia kak?”

“Ya Allah... jadikanlah diriku meletakkan Engkau di tempat pertama dalam apa jua perkara yang aku ingin lakukan.”

Maisarah senyum. Hazim membalas.

“Akak...”

“Ya sayang..”

“Boleh tak nyanyi lagu?”

“Lagu apa?”

“Suci Sekeping Hati”

Maisarah mula menyanyi sementara Hazim terlena di pangkuannya..

***

Maisarah melontarkan pandangannya jauh-jauh ke luar tingkap, melihat bendang yang luas terbentang, langit yang berdiri tanpa tiang, juga burung-burung yang girang berterbangan. Sungguh banyak tanda kekuasaan Allah, jika manusia benar-benar merenungi..

Rumah kayu miliknya dahulu sudah pun berganti dengan rumah batu sederhana besar hasil titik peluh Hazim.

Hazim. Nama yang tidak pernah luput dalam hatinya. Rindu benar dia pada insan soleh itu.

Maisarah mendengus. “Maisarah.. sabarlah, kan Hazim dah bagitahu yang dia tak dapat balik minggu ni.. Sabarlah, dia bekerja kerana Allah”

Wanita solehah itu berkali-kali cuba menenangkan hati. Rindunya pada adik tercinta tidak dapat dibendung lagi.

“Sekeping hati dibawa berlari ..Jauh melalui jalanan sepi ..Jalan kebenaran indah terbentang ..Di depan matamu para pejuang”

Suara Hazim yang menyanyikan lagu suci sekeping hati bergema-gema di kotak fikirannya.

“Allah.. aku benar-benar merinduinya” Maisarah berbisik sendirian.

“Tapi jalan kebenaran ..Tak akan selamanya sunyi …Ada ujian yang datang melanda ..Ada perangkap menunggu mangsa”

Suara itu bergema lagi di kotak fikiran Maisarah. Kelopak matanya mula memberat menahan takungan air.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah ..Bila disapa duri yang menanti …Akan kaburkah mata yang meratap…Pada debu yang pastikan hinggap”

Suara itu tidak dapat dihilangkan daripada terus menjengah.Maisarah menarik satu nafas yang panjang, “Allah, tabahkan hatiku.. redhakan ya Allah..”

“Mengharap senang dalam berjuang ..Bagai merindu rembulan di tengah siang …Jalannya tak seindah sentuhan mata …Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba”

Akhirnya, air mata wanita itu tumpah jua.. Setitik demi setitik gugur membasahi bumi.

“Ehem..ehem.. layan feeling nampak? Sampai adik tercinta datang pun tak perasan?”

Suara garau Hazim menjengah lagi dan kali ini Maisarah berpaling ke belakang.

Satu susuk tubuh lelaki soleh yang sering dirinduinya menerpa di birai mata. Di sebelahnya, Rabiatul Adawiyah manis berjubah ungu dan bertudung labuh warna ungu cair tersenyum senang.

“Kata tak balik minggu ni?” Akhirnya suara halus milik Maisarah keluar juga. Hazim tersenyum.

“Mana boleh kak, nanti ada orang merana kerinduan pula”

“Perasan” Maisarah menjuih.

“Betul ni kak? Hazim balik eh.. Balik ni..” Hazim berpura-pura merajuk.

“Adawiyah, tengok suami kamu ni, tak ubah-ubah.”

Adawiyah ketawa kecil “Tak apalah kak, mari saya teman akak.”

Hazim tersengih. Segera dia menerpa dan memeluk Maisarah. Maisarah menangis lagi...

“Itulah akak, Hazim ajak duduk sekali tak mahu..”

“Akak sayang rumah ni dik...”

“Tak sayang Hazim?”

“Tak apalah dik.. Akak tahu Allah sentiasa jaga Hazim, lagipun akak tak perlu risau.. Hazim kan selalu mengutamakan Allah dalam segala hal”

Maisarah tersenyum.

Rabiatul Adawiyah mengesat air matanya, terharu melihat senario yang berlaku di hadapan mata. Suci sungguh sekeping hati milik mereka.

“Akak, tengok tu.. ada orang pula yang feeling.” Serentak Maisarah dan Hazim memandang wajah bersih Rabiatul Adawiyah.

“Abang ni nakal laaaa...”

Ketawa bergema, menghiasi ruang yang menyimpan 1001 rahsia....

Ya Allah...
Letakkanlah dunia di tangan kami agar kami bisa menggunakannya,
Bukan di hati kami agar kami tidak terpedaya dengannya,
Dan sucikanlah hati kami, agar kami bisa merasa manisnya hidup bersamaMu...


Read More...